Blog ini adalah wadah perkongsian para penulis muda menzahirkan tinta sebagai tatapan pencinta qarya.
Kepada anda yang berminat sila hubungi admin pada surat elektronik cik_im84@hotmail.com untuk menyertai ruangan qaryawan.

Halaman

Salju di Musim Bunga

Qunielova berjalan sendirian meniti pesisiran jalan berbatu merah bata. Dedaun yang luruh diusik sang bayu berputar-putar merunduk ke wajah bumi mengikut alunan bayu pagi itu. Daun-daun kuning kemerahan semakin rancak meluruh tatkala dia meniti bibir jalan itu. Mereka bagaikan menyambut dia dalam tarian gemalai yang bisu. Dedaun luruh lagi. Seluruh warna hatinya yang menjingga. Suram. Sepi. Tudung yang menutupi mahkotanya sengaja dibiar membelai wajah. Hatinya berlagu sendirian dalam irama yang tidak menentu.

Anak kunci menjadi mainan jejari runcingnya. Gemerincing dan sesekali bingit apabila anak-anak kunci itu berlaga sesama sendiri. Qunielova tidak ambil pusing. Baginya bunyi gemerincing itu lagu mengubat jiwanya tatkala itu. Tiba-tiba, anak kunci itu terpelanting dari mahir jejarinya. Tercampak di banir sebuah pohon besar lagi rendang. Kira-kira tiga hingga empat langkah dari tempat dia terpaku. Mata yang melilau tertancap pada pohon rendang itu tetapi bukan kepada kunci tetapi kepada sebuah lubang kira-kira tinggi satu pembaris 30 sentimeter pada celahan sudut banir sebesar pehanya. Dia melangkah dalam kesamaran hati. Tercari-cari. Tertinjau-tinjau.

            “Kau mencari anak kunci ini?” Satu suara lunak mengejutkan Qunielova dari lemas tanda tanya.     
            “Oh, ya. Saya... saya mencari anak kunci itu.”
            “Jangan takut dan gusar, Qunie. Aku sahabatmu.” Anak kunci itu diserahkan bersama sebuah senyuman manis.
            “Macam mana awak tahu nama saya? Awak ini siapa?”
            “Usah berbicara di sini. Jemput berziarah ke teratakku. Engkau ditakdirkan untuk menerima beberapa jumlah perkataan dariku.”

Dengan lemah-lembut tangan Qunielova ditarik perlahan ke dalam lubang itu. Dia mahu bersuara menyangkal kemustahilan dalam diri tetapi akhirnya terdiam apabila tubuhnya yang tinggi lampai itu akhirnya menemukan sebuah ruang yang sangat permai dan luas. Seketika, dia terpegun. Dadanya hangat. Kehadirannya bagai dirai dan dicurahkan sepenuh kasih dan kegembiraan yang dicari selama ini. Apa yang baru berlaku terhadap dirinya itu adalah sesuatu diluar logik dan rasional, namun keajaiban terjadi.

            “Sudah temui apa yang dicari?” Secawan minuman dituang lalu disuakan ke arah Qunielova.
            “Apa yang saya cari?”
            “Erti yang tidak ditemui, barangkali?” Dia memerhatikan reaksi tetamu itu.
            “Awak tidak menjawab pertanyaan saya tadi.” Anak matanya tepat memanah empunya bersuara lunak itu.
            “Namaku, Sephi. Aku tahu kamu perlukan teman berbicara.”
            “Tidak mungkin awak orangnya, Sephi. Awak tidak sanggup mendengarnya.”
            “Tidak perlu bercerita kepadaku, wahai sahabat. Aku mahu kamu mendengar aku tatkala ini.”

Qunielova mahu segala persoalan yang menerjah lubuk hati dan fikirannya dimewahi dengan jawapan yang logik tetapi dia tidak bertindak terburu-buru kerana sejak pertemuannya dengan Sephi, dia pasti, Sephi yang bercahaya wajahnya ini tahu terlalu banyak mengenai dirinya, dunia hatinya.
           
            “Siapa dia ini. Terlalu banyak yang dia tahu tentang aku.” Hatinya berbisik sendirian.
            “Tidak perlu tahu siapa aku sebenarnya. Kamu selalu mendengar klise kawan ketawa sekeliling pinggang. Kawan menangis sukar dicari. Selalu bukan? Bukan sekadar telinga fizikal tetapi telinga hati juga sudah terlali dengan klise itu.”
            “Ya, selalu. Barangkali aku malang kerana kawan ketawaku ramai.” Matanya dibiarkan tumpah di permaidani rumput yang hijau itu.
            “Sebenarnya kawan ketawa itu bagus. Bukan malang.”
            “Maksud awak, Sephi?”
            “Kawan ketawa itu bagus, andai tawanya itu ikhlas. Kawan yang ikhlas akan ketawa secara asli tanpa kepura-puraan. Tanpa kepentingan tetapi penuh seni. Kelembutannya meresap ke dalam hati. Keikhlasan itu tertera di sebelah kiri senyum tawanya.”
            “Boleh dikesan? Logikkah dan mengapa kiri?”
            “Logik barangkali. Aku sendiri tidak pasti. Segala tindakan anggota sebelah kiri dikawal oleh hemisfera otak kanan. Otak kanan yang kreatif dan penuh perasaan, melukis apa yang tertafsir di dalamnya. Barangkali penemuanku ini ada rasional. Akan tetapi kamu berhadapan dengan mereka yang ketawa tetapi tidak ikhlas.”
            “Bagaimana mahu dikatakan ketawanya tulus?”
            “Cuba kau lihat pengalamanmu. Siapakah yang datang mengucapkan tahniah pada hari kau menerima ijazah atas kecemerlanganmu? Semua kawan atau hanya sedikit daripada mereka yang mungkin tidak begitu rapat denganmu?”




Qunielova cuba memerhatikan gelungan memorinya. Hanya segelintir daripada kawan-kawannya yang datang merapat untuk berpelukan dan mengucapkan tahniah atas kejayaannya. Berkerut-kerut dahinya menelaah semula lipatan memori lama. Baik juga begitu. Lebih baik tiada ucapan tahniah daripada tahniah tetapi tidak jujur.

            “Tetapi, bagaimana yang dikatakan kawan menangis?”
            “Berapa ramai temanmu yang meluahkan kata-kata takziah tatkala kau menceritakan pemergian ayahandamu kepada mereka. Apa reaksi mereka? Apa yan diucapkan kepadamu ketika itu?”
            “Mereka hanya berdiam selepas ucap takziah kepadaku.” Qunielova menjadi muram.
            “Apa fikirmu pula terhadap reaksi mereka itu?”
            “Aku tidak perlukan ucap simpati dari mereka tetapi luahan rasa dan kehadiran mereka sudah cukup menjadi penawar agar aku bersabar.”
            “Kau cuba memujuk hatimu sendiri, Qunie. Mereka tidak hadir. Mereka sebenarnya langsung tidak tahu apa yang kau tempuhi.”
            “Aku sendiri-sendiri, Sephi.” Air matanya gugur.
                       
Pertemuan dengan Sephi pada pagi itu tidak melakar suatu pegalaman baru tetapi kata-kata Sephi sangat mendalam dan membuka kesedaran yang hampir terkubur. Qunielova sedar siapa kawan ketawa? Siapa kawan menangis? Dan siapa kawan.

2 ciuman pencinta:

angah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
angah berkata...

salam.. wah cerita misteri nih.. garapan yang menarik.. :) nice job

Catat Ulasan

Tinta Pencinta